Asas kebangkitan nasionalisme Kadazandusun Murut dan rumpun Pasokmomogun bermula daripada sebuah persatuan kebudayaan dan kebajikan yang ditubuhkan pada 24 Ogos 1953, iaitu The Society of Kadazan. Persatuan ini bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup kaum Kadazan, termasuklah memberi perhatian kepada usaha mempertahankan bahasa dan kebudayaannya. Pada mulanya, persatuan ini hanya dianggotai oleh orang Penampang sahaja sehinggalah pada tahun 1960. Antara pemimpin asal persatuan ini termasuklah Joseph Tino, Vincent Ligunjang, Richard Yapp, Joe Manjaji, Cladius Yap dan Herman Motogol. Persatuan ini juga mengadakan persidangan untuk membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan kaum Kadazandusun pada ketika itu.Peranan Donald Stephens dalam menggerakan nasionalisme Kadazandusun Murut sememangnya tidak dapat dinafikan. Pada 11 May 1958, Stephens menjadi Presiden persatuan ini selepas menghadiri persidangan tahunannya pada Mac 1957. Bermula daripada detik inilah, persatuan ini menjadi satu pergerakan pro-politik dan akhirnya menjadi asas penubuhan UNKO pada tahun 1961. Transformasi ini memberi peluang kepada satu lagi penubuhan satu lagi persatuan pada tahun 1959 iaitu Penampang Kadazan Youth Association yang bertujuan untuk membantu persatuan induk iaitu Kadazan Society of Penampang dalam aktiviti-aktiviti sosial dan kebudayaan. Maka, apabila persatuan induk mengadakan perayaan Tadau Kaamatan, persatuan belia inilah yang sebenarnya menjadi tunjang untuk menggerak dan melaksanakannya. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri daripada guru-guru dan pelajar St. Michael, Penampang.Cetusan perjuangan politik masyarakat Kadazandusun Murut bermula ekoran cadangan penubuhan sebuah gagasan negara baru dengan menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. Pengumuman cadangan penubuhan pada 27 Mei 1961 ini adalah ilham Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj dan dinamakan sebagai 'Projek Malaysia'.Reaksi pertama dari Sabah terhadap cadangan ini ialah penentangan dari para pemimpin masyarakat tempatan Sabah, khususnya para Ketua Daerah dan Orang Kaya-Kaya (OKK). Namun pada ketika itu, rakyat Sabah belum lagi mempunyai pertubuhan parti politik sebagai saluran bersuara. Maka itu, pada bulan Ogos 1961, satu persidangan pemimpin Kadazandusun Murut daripada pelbagai cawangan Persatuan Kadazan telah diadakan untuk membincangkan kemungkinan untuk menubuhkan sebuah parti politik. Dalam persidangan, identiti Kadazan-Dusun Pasok Momogun merupakan topik yang paling hangat dibincangkan. Akhirnya Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu atau United National Kadazan Organisation (UNKO) ditubuhkan dengan keahliannya dibuka kepada orang Kadazan sahaja atau yang mempunyai ibu atau bapa berketurunan Kadazan serta mestilah berumur 16 tahun ke atas.Ahli mesti bersetuju dan bersumpah bahawa mereka akan patuh kepada peraturan dan perlembagaan parti.Presiden UNKO yang pertama ialah Donald Stephens dan Timbalannya ialah Datuk G.S. Sundang. Majlis Tertinggi parti ini juga dianggotai oleh Datuk Peter Mojuntin dan ketua-ketua masyarakat dari Penampang, Papar dan beberapa kawasan Pantai Barat Sabah. Selain semangat juang untuk merdeka, masyarakat Kadazandusun pada ketika itu juga terus dibelenggu dilemma soal nama panggilan kesukuan yang harus digunakan terhadap masayarakat Anak Negeri Sabah. Kongres UNKO yang pertama telah membahaskan nama-nama panggilan kebangsaan yang sesuai untuk mereka. Antara nama panggilan yang dicadangkan ialah Kadazan, Dusun dan Momogun.