Asas kebangkitan nasionalisme Kadazandusun Murut dan rumpun Pasokmomogun bermula daripada sebuah persatuan kebudayaan dan kebajikan yang ditubuhkan pada 24 Ogos 1953, iaitu The Society of Kadazan. Persatuan ini bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup kaum Kadazan, termasuklah memberi perhatian kepada usaha mempertahankan bahasa dan kebudayaannya. Pada mulanya, persatuan ini hanya dianggotai oleh orang Penampang sahaja sehinggalah pada tahun 1960. Antara pemimpin asal persatuan ini termasuklah Joseph Tino, Vincent Ligunjang, Richard Yapp, Joe Manjaji, Cladius Yap dan Herman Motogol. Persatuan ini juga mengadakan persidangan untuk membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan kaum Kadazandusun pada ketika itu.

Peranan Donald Stephens dalam menggerakan nasionalisme Kadazandusun Murut sememangnya tidak dapat dinafikan. Pada 11 May 1958, Stephens menjadi Presiden persatuan ini selepas menghadiri persidangan tahunannya pada Mac 1957. Bermula daripada detik inilah, persatuan ini menjadi satu pergerakan pro-politik dan akhirnya menjadi asas penubuhan UNKO pada tahun 1961. Transformasi ini memberi peluang kepada satu lagi penubuhan satu lagi persatuan pada tahun 1959 iaitu Penampang Kadazan Youth Association yang bertujuan untuk membantu persatuan induk iaitu Kadazan Society of Penampang dalam aktiviti-aktiviti sosial dan kebudayaan. Maka, apabila persatuan induk mengadakan perayaan Tadau Kaamatan, persatuan belia inilah yang sebenarnya menjadi tunjang untuk menggerak dan melaksanakannya. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri daripada guru-guru dan pelajar St. Michael, Penampang.

Cetusan perjuangan politik masyarakat Kadazandusun Murut bermula ekoran cadangan penubuhan sebuah gagasan negara baru dengan menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. Pengumuman cadangan penubuhan pada 27 Mei 1961 ini adalah ilham Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj dan dinamakan sebagai “Projek Malaysia”.

Reaksi pertama dari Sabah terhadap cadangan ini ialah penentangan dari para pemimpin masyarakat tempatan Sabah, khususnya para Ketua Daerah dan Orang Kaya-Kaya (OKK). Namun pada ketika itu, rakyat Sabah belum lagi mempunyai pertubuhan parti politik sebagai saluran bersuara. Maka itu, pada bulan Ogos 1961, satu persidangan pemimpin Kadazandusun Murut daripada pelbagai cawangan Persatuan Kadazan telah diadakan untuk membincangkan kemungkinan untuk menubuhkan sebuah parti politik. Dalam persidangan, identiti Kadazan – Dusun – Pasok Momogun merupakan topik yang paling hangat dibincangkan. Akhirnya Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu atau United National Kadazan Organisation (UNKO) ditubuhkan dengan keahliannya dibuka kepada:-

  1. Orang Kadazan sahaja atau yang mempunyai ibu atau bapa berketurunan Kadazan serta mestilah berumur 16 tahun ke atas.
  2. Ahli mesti bersetuju dan bersumpah bahawa mereka akan patuh kepada peraturan dan perlembagaan parti.

Presiden UNKO yang pertama ialah Donald Stephens dan Timbalannya ialah Datuk G.S. Sundang. Majlis Tertinggi parti ini juga dianggotai oleh Datuk Peter Mojuntin dan ketua-ketua masyarakat dari Penampang, Papar dan beberapa kawasan Pantai Barat Sabah. Selain semangat juang untuk merdeka, masyarakat Kadazandusun pada ketika itu juga terus dibelenggu dilemma soal nama panggilan kesukuan yang harus digunakan terhadap masayarakat Anak Negeri Sabah. Kongres UNKO yang pertama telah membahaskan nama-nama panggilan kebangsaan yang sesuai untuk mereka. Antara nama panggilan yang dicadangkan ialah Kadazan, Dusun dan Momogun.

Atas sebab kesukaran mencapai persetujuan mengenai nama panggilan suku bangsa, pencadang nama panggilan “Momogun”, iaitu Datuk G.S. Sundang telah meletak jawatan dari parti UNKO. Beliau seterusnya menubuhkan satu lagi parti politik berasaskan Kadazandusun pada Januari 1962, iaitu Pasok Momogun atau United Pasok Momogun National Organisation. Parti ini merupakan parti bagi Orang Asal Sabah yang kedua selepas UNKO dan mendapat sokongan masyarakat Dusun dan Murut dari kawasan Pedalaman.

Para pemimpin UNKO dan Pasok Momogun telah memberikan sumbangan penting dalam dokumen Memorandum 20 Perkara yang menyentuh keprihatinan golongan minoriti mengenai hak dan kedudukan mereka sebagai Bumiputera dalam negara baru yang dipanggil Persekutuan Malaysia.

Masyarakat Kadazandusun terus mengalami pergolakan kerana kedua-dua parti politik, UNKO dan Pasok Momogun masih tidak sehaluan. UNKO ditubuhkan untuk menyatukan masyarakat Kadazandusun, memperjuangkan satu matlamat bersama dalam politik, ekonomi dan sosial di samping menggesa Kerajaan British agar tidak mengabaikan hak-hak Bumiputera. Keahlian UNKO pada awalnya dikhususkan kepada orang-orang Kadazandusun kerana pengasasnya percaya bahawa masyarakat ini yang dianggarkan 168,367, iaitu 32% daripada penduduk Sabah pada tahun 1960 sudah cukup untuk UNKO kukuh berdiri.

Kedudukan UNKO tergugat dengan kemunculan parti United Sabah National Organization (USNO) yang membuka keanggotaan kepada semua golongan Bumiputera samada Islam atau bukan Islam. Ini telah menarik perhatian ramai orang Dusun untuk menyokong USNO kerana mereka tidak setuju dengan penggunaan istilah “Kadazan” yang diperjuangkan UNKO. Di samping itu, mereka juga khuatir tentang kedudukan mereka kerana kurang maju dari segi pendidikan dan ekonomi menyebabkan mereka dengan lebih muda didominasi oleh Kadazan Penampang yang lebih berpendidikan ketika itu.

Penubuhan parti Pasok Momogun pula disokong oleh masyarakat Cina yang kurang senang dengan cadangan Projek Malaysia kerana UNKO telah mengambil pendirian untuk menyokong pembentukan negara Malaysia. Pasok Momogun membantah dengan alasan Sabah perlu mendapat kemerdekaan terlebih dahulu sebelum memikirkan samada menyertai Persekutuan Malaysia.

Peter Chin, seorang ahli perniagaan dari Jesselton (kini Kota Kinabalu) telah berjaya memujuk pemimpin-pemimpin Kwijau tiga bersaudara, iaitu Datuk G.S. Sundang, O.K.K. Sedomon dan Jaimi untuk membentuk parti Pasok Momogun. Parti ini membuka keahliannya kepada semua kaum dan bersikap anti-Malaya. Pasok Momogun mendapat bantuan kewangan daripada saudagar-saudagar Cina seperti Khoo Siak Chew.

Proses perundingan membentuk Persekutuan Malaysia telah melalui berbagai peristiwa pahit dan manis. Namun demikian, cadangan Tunku itu diterima setelah proses perundingan yang memakan masa selama 28 bulan, iaitu dari bulan Mei 1961 hinggalah ke bulan September 1963. Akhirnya pada 31 Ogos 1963, Borneo Utara telah diberi status yang membolehkannya memerintah secara sendirian. Peristiwa bersejarah ini merupakan 16 hari sebelum Borneo Utara mendapatkan kemerdekaannya sepenuhnya dalam negara Malaysia, iaitu pada 16 September 1963. Masyarakat Kadazandusun pada masa itu telah diberi satu penghormatan besar kerana Ketua Menteri pertama yang dilantik ialah Donald Stephens.

Penubuhan Persekutuan Malaysia telah memberikan tamparan hebat kepada Pasok Momogun kerana dua buah parti politik Cina, iaitu United Party (UP) dan Democratic Party (DP) yang merupakan penyumbang sumber kewangan kepada Pasok Momogun telah bergabung dan membentuk Parti Kebangsaan Borneo Utara atau Borneo Utara National Party (BUNAP). Ini menyebabkan Parti Pasok Momogun kehilangan sokongan kewangan dan tidak mempunyai pilihan lain kecuali bergabung dengan UNKO pada Mei 1964 untuk membentuk United Pasok Momogun Kadazan Organisation (UPKO).

Pada 12 April 1964, satu mesyuarat di antara pemimpin UNKO dan Pasok Momogun diadakan di Rumah Rehat Tenom. UNKO diwakili oleh Stephens, Mojuntin, Manjaji dan Fred Tan, manakala Pasok Momogun diwakili oleh G. S. Sundang, Sodomon, Sundang, O.K.K. Koroh, Haji Asneh, O.K.K. Angkoi, Tingkalor Lampag dan semua ketua masyarakat Murut. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan penggabungan kedua-dua parti kerana ia disifatkan sebagai berkongsi ikatan kekeluargaan yang sama. Kesemua pemimpin yang hadir menyatakan sokongan terhadap hasrat murni tersebut. Pada 13 Jun 1964, satu perhimpunan terbesar di kalangan pemimpin Kadazandusun dan Murut diadakan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.

Perhimpunan yang dipengerusikan bersama oleh Stephens dan Sundang ini sebulat suara untuk menggabungkan UNKO dan Pasok Momogun menjadi UPKO. Resolusi ini dicadangkan oleh Peter Mojuntin dan Stanley Ho, dua Ahli Parlimen muda yang hadir. Antara ketua masyarakat yang hadir ialah OKK Sodomon, OKK Koroh, OKK Tambakau, Dato OKK Angian, OKK Jaimi, KAN Madan, Sanggau dari Keningau dan Tenom, OKK Mulok dari Sipitang, OKK Bulangang dan Robert Bulanggan dari Kuala Penyu, OKK Haji Asneh dari Beaufort, OKK Ewn dan N.C. Manjakon dari Penampang, OKK Majimbun dari Inanam, KAN Amit dari Papar, OKK Nonon dari Tuaran, KAN Belingi dari Tenghilan, OKK Akoi dan KAN Sepikit, Saliun dari Ranau, OKK Rantian dari Kota Belud, KAN Jamari OT Assan Gaban dari Kudat dan Bandau, Chong Ang Khoi dari Labuan serta banyak lagi pemimpin masyarakat Kadazandusun yang lain.

Penyatuan kedua-dua parti politik ini mengukuhkan kedudukan Bumiputera Bukan Islam dalam Kerajaan Perikatan Sabah dan melambangkan perpaduan masyarakat Kadazandusun dalam kesinambungan perjuangan politik mereka.

Kewujudan UPKO telah menggugat kedudukan USNO dalam pengagihan kerusi Dewan Undangan Sabah. Sekitar Mei hingga Jun 1964, jumlah kerusi DUN yang dipilih ditambah kepada 32 kerusi dengan pengagihannya ialah USNO: 14, UPKO:11 dan SCA: 7. Setiap komponen Perikatan Sabah juga diberikan satu tambahan kerusi yang dilantik. Oleh itu, pengagihan kerusi DUN Sabah pada tahun 1964 adalah USNO: 15, UPKO: 12, SCA: 8 dan SIC: 1.

Disebabkan tekanan politik daripada Kerajaan Persekutuan dan USNO, Donald Stephens terpaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah pada 31 Disember 1964 dan digantikan oleh Peter Lo daripada SCA. UPKO tidak menarik diri daripada Perikatan Sabah walaupun Donald Stephens meletak jawatan. Sebaliknya, satu lagi penghormatan besar diberikan kepada masyarakat Kadazandusun apabila beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan Awam dan Hal-Ehwal Sabah di Kerajaan Persekutuan pada Januari 1965.

Beliau melepaskan jawatan ini pada Ogos 1965 kerana beliau tidak dibawa berunding berhubung penarikan Singapura daripada Malaysia. Penarikan diri Singapura daripada Malaysia menimbulkan kesan negatif kepada situasi politik Sabah dan menyebabkan ketegangan hubungan di antara UPKO dan Kerajaan Persekutuan. UPKO di bawah pimpinan Donald Stephens meminta dikaji semula peraturan berkaitan kemasukan Sabah dalam Malaysia. Ini mengakibatkan Kerajaan Pusat mula campur tangan dalam pengendalian politik di Sabah.

Ketegangan politik Sabah ini semakin memuncak menjelang Pilihanraya Umum Negeri yang pertama pada April 1967 sehingga mewujudkan masalah pengagihan calon di antara komponen Perikatan Sabah. Keputusannya ialah USNO: 14, UPKO: 12, SCA: 4 dan Bebas: 1. Pada mulanya UPKO dan SCA bersetuju bekerjasama untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah. SCA mengubah pendirian kerana masih memerlukan sokongan Bumiputera Islam USNO di samping tekanan daripada Kuala Lumpur. USNO berusaha memujuk pemimpin-pemimpin UPKO menyertainya melalui tawaran jawatan dalam Kabinet Negeri. Akhirnya, USNO mula lemah apabila Payar Juman dan Wong Fook Siang menyertai USNO. Beberapa ahli UPKO turut menyertai USNO. Dengan sokongan secara tidak langsung dari Kerajaan Pusat, maka pada 15 Mac 1967, USNO akhirnya berjaya menyingkirkan UPKO daripada Kerajaan Perikatan Sabah dan seterusnya dibubarkan pada bulan Disember 1967.

Penubuhan Parti Demokratik Sabah (PDS) merupakan satu cabaran yang paling besar dilalui oleh pemimpin-pemimpin UPKO yang masih bertahan sehingga kini. Fitnah seperti mereka telah membelot bangsa, melompat parti, mudah dibeli oleh wang dan tamak kuasa merupakan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin dan masyarakat Kadazandusun di awal penubuhan parti ini. Malah yang sedihnya, pemimpin seperti Huguan Siou dan beberapa pemimpin lain yang masih ada sekarang ini turut melemparkan fitnah tersebut sedangkan peranan serta pembabitan mereka sendiri dalam penubuhan PDS sangat jelas. Hakikatnya, Resolusi Seri Gaya 14 Mac 1994 memang wujud dan dipersetujui oleh semua ADUN dan ADR PBS yang hadir pada ketika itu.

Tanda-tanda kejatuhan Kerajaan PBS mula kelihatan dengan tindakan tergesa-gesa YB Datuk Joseph Pairin Kitingan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) setahun lebih awal. Pemerhati politik mendakwa bahawa tindakan Presiden PBS membubarkan DUN tanpa mengadakan perbincangan terperinci dengan pemimpin-pemimpin kanan parti terutama sekali Timbalan-Timbalan Presiden Parti ketika itu adalah dianggap tidak bijak sama sekali. Perletakan jawatan dan keahlian parti oleh YB Datuk Yong Teck Lee, salah seorang Timbalan Presiden merupakan satu testimoni ketidakpuashatian terhadap cara Datuk Pairin membuat keputusan pada ketika itu. Datuk Yong kemudiannya menubuhkan Parti Maju Sabah (SAPP) dan menyatakan kekesalan beliau kerana tidak lagi diminta berbincang atau berunding khususnya mengenai perkara-perkara yang melibatkan kepentingan masyarakat Tionghua di Sabah. Datuk Pairin juga enggan meletakkan beliau sebagai calon pilihanraya, termasuklah beberapa ADUN lain yang dikatakan tidak setia kepada Datuk Yong. Malah, YB Datuk Bernard Dompok, seorang lagi Timbalan Presiden PBS juga hanya diletakkan sebagai calon di saat-saat akhir.

Kejatuhan Kerajaan PBS sebenarnya disebabkan oleh kegagalan parti tersebut mendapatkan majoriti besar dalam pilihanraya umum tahun 1994. Kedudukan dan kestabilan politik Kerajaan PBS menjadi lemah apabila tiga orang wakil rakyat PBS bertindak keluar parti dan memasuki Barisan Nasional. Tindakan pemimpin-pemimpin PBS, khususnya ASUN dari kumpulan masyarakat Tionghua dan Bumiputera Islam telah melemahkan lagi kekuatan PBS apabila masing-masing keluar daripada parti itu. Akhirnya Datuk Pairin terpaksa meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri pada 17 Mac, 1994.

Proses kejatuhan Kerajaan PBS dan seterusnya penubuhan PDS dapat dilihat dan dianalisa melalui peristiwa-peristiwa penting dalam perkembangan politik Sabah pada tahun 1994 seperti berikut:-

Tarikh Peristiwa

10 Jan 1994

YAB Datuk Joseph Pairin Kitingan, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah dengan tiba-tiba untuk membolehkan pilihanraya umum negeri. Pemimpin-pemimpin PBS melobi supaya dicalonkan dalam pilihanraya tersebut

14 Jan 1994

Suruhanjaya Pilihraya (SPR) mengumumkan tarikh pembuangan undi pada 18-19 Februari 1994

17 Jan 1994

Keputusan perbicaraan kes rasuah Datuk Pairin didengarkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. Beliau didapati bersalah dan didenda kurang daripada RM2,000.00. Dendaan ini membolehkan beliau masih layak bertanding dalam pilihanraya.

22 Jan 1994

Parti SAPP yang diketuai oleh Datuk Yong Teck Lee ditubuhkan.

4 Feb 1994

Parti SAPP diterima masuk sebagai sebuah parti komponen BN.

19 Feb 1994

Keputusan pilihanraya diumumkan di mana PBS memenangi 25 kerusi, sementara BN menang 23 kerusi. Kerusi-kerusi BN dimenangi oleh UMNO 18 kerusi, SAPP 3, LDP 1 dan AKAR 1.

21 Feb 1994

Datuk Pairin mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada jam 10.05 pagi di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri selepas menunggu selama 36 jam di luar Istana. Sebanyak lapan ahli kabinet Kerajaan PBS turut mengangkat sumpah

1 Mac 1994

YB Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menyatakan bahawa beliay dan beberapa orang pemimpin PBS telah mengadakan perundingan secara tidak rasmi mengenai kemungkinan penubuhan Kerajaan Campuran PBS-BN di Sabah.

3 Mac 1994

YB Datuk Joseph Kurup, Setiausaha Agung PBS, atas inisiatifnya sendiri telah mengadakan pertemuan dengan para pemimpin atasan UMNO di Kuala Lumpur untuk membincangkan kemungkinan mewujudkan semula hubungan kerja yang baik antara pemimpin negeri dan persekutuan.

YB Datuk Lajim Haji Okin, Naib Presiden PBS menyatakan bahawa parti mengizinkan Datuk Dr. Jeffrey untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin BN untuk menamatkan perhubungan tegang Negeri-Persekutuan.

5 Mac 1994

Datuk Pairin menyatakan bahawa beberapa cubaan telah dilakukan oleh pihak pembangkang untuk menarik ADUN PBS. Kenyataan ini dibuat sempena sambutan ulangtahun parti PBS yang kesembilan di Hongkod Koisaan, Penampang.

7 Mac 1994

Seramai 12 Pembantu Menteri yang dilantik ke dalam kabinet baru Datuk Pairin mengangkat sumpah di hadapan Tuan Yan Terutama Yang Dipertua Negeri

11 Mac 1994

Enam pemimpin PBS bertindak keluar parti iaitu Datuk Clarence Bongkos Malakun, YB Senator Laimun Laikim, James Andrew Vitales, Datuk Conrad Mojuntin, Frederick Labunda dan Mohd. Ainal Fatah. Mereka mengumumkan pendaftaran sebuah parti baru yang dinamakan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Datuk Bongkos menjadi Presiden penaja parti tersebut.

12 Mac 1994

Tiga ADUN PBS bertindak keluar parti dan menyertai UMNO. Mereka ialah YB Datuk Lajim Haji Okin, YB Rubin Balang dan YB Datuk Haji Zaini Mohd. Isa.

12 Mac 1994

Datuk Dr. Herman Luping membuat kenyataan akhbar bahawa Datuk Joseph Kurup tidak akan meninggalkan PBS.

13 Mac 1994

Datuk Pairin mengumumkan pembubaran DUN yang bertahan hanya selama tiga minggu sahaja pada jam 12.20 tengahari di kediaman rasmi beliau di Seri Gaya untuk membolehkan pilihanraya baru diadakan. Menurut Datuk Pairin, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Mohd. Said Keruak telah bersetuju dengan pembubaran tersebut pada pertemuan beliau pada jam 9.15 pagi. Walau bagaimanapun, Tun Mohd. Said menafikan memberikan persetujuan dan kemudian membuat laporan polis pada 4.15 petang di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu mengenai dakwaan bahawa beliau menandatangani dokumen pembubaran DUN.

14 Mac 1994

YB Datuk Michael Lim Yun Sang menyertai SAPP.

Datuk Dr. Jeffrey menyatakan bahawa Datuk Pairin bersetuju untuk mengundurkan diri sebagai Ketua Menteri bagi menyelesaikan krisis politik negeri. Kenyataan ini dibuat di kediaman YAB Perdana Menteri di Sri Perdana sempena rumah terbuka Hari Raya. Datuk Dr. Jeffrey kemudiannya mengadakan perbincangan dengan YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed dan kenyataan beliau disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM). Pada sebelah petangnya, beberapa ADUN PBS bertindak meninggalkan parti iaitu YB Datuk Baharom Abu Bakar Titingan dan YB Datuk Hassan Alban Sandukung. Datuk Dr. Jeffrey membuat pengumuman pada sebelah petang mengenai hasratnya mahu memasuki parti dalam komponen BN.

15 Mac 1994

Tiga ADUN PBS mengumumkan perletakan jawatan mereka iaitu YB Datuk Chau Tet On, YB Datuk Joseph Kurup dan YB Datuk Chau Chin Tang. Dua Ahli Parlimen dan seorang Senator PBS iaitu YB Lai Lun Tze, YB Joseph Vun Shin Choi dan YB Senator Frankie Chong turut meletak jawatan dan kemudiannya menyertai SAPP. Setakat ini, sejumlah sembilan ADUN PBS telah mengumumkan perletakan jawatan dan keahlian mereka dalam perti. Tujuh daripadanya menyertai BN. Ini menjadikan bilangan kerusi BN menjadi 30 dan PBS hanya mempunyai baki 22 kerusi, termasuk ADUN yang dilantik.

YB Datuk Josep Kurup, Datuk Clarence Bongkos, Dr. Jeffrey Kitingan dan YB Datuk Maidom Pansai melancarkan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang telah didaftarkan lebih awal. Datuk Clarence mengumumkan Datuk Kurup sebagai Presiden Penaja PBRS dan Dr. Jeffrey sebagai Timbalan Presiden.

Dr. Maximus Ongkili dan pemimpin-pemimpin PBS yang lain menyediakan dokumen untuk mendaftarkan PDS d Seri Gaya selaras dengan keputusan penubuhan Parti PDS pada malam 14 Mac 1994. Selepas selesai, satu lagi mesyuarat diadakan di rumah kediaman Datuk Pairin. Beliau kemudiannya menarik balik restunya terhadap penubuhan PDS. Keputusan beliau tersebut dipengaruhi oleh para pemimpin PBS yang kebanyakannya tewas dalam pilihanraya. Beliau tidak mendengar nasihat dan pendapat mengenai kepentingan perwakilan masyarakat Kadazandusun dalam kerajaan.

Dengan keadaan demikian, Datuk Bernard Dompok dan ADUN-ADUN PBS yang lain, khususnya dari kalangan Bumiputera Bukan Islam meneruskan cadangan menubuhkan PDS seperti yang telah dipersetujui bersama atas dasar mahu memastikan supaya ada perwakilan yang efektif dari semua kaum dan perkongsian kuasa dalam Kerajaan BN.

Dr. Jeffrey meninggalkan PBRS dan mengumumkan hasrat beliau untuk menubuhkan satu lagi parti baru.

16 Mac 1994

Dr. Jeffrey mengumumkan bahawa beliau akan menubuhkan parti baru yang dinamakan Parti Demokratik Sabah Bersatu (PDSB). Peristiwa ini berlaku sehari selepas beliau diumumkan menjadi Timbalan Presiden PBRS. Dalam kenyataannya, beliau mempelawa Datuk Pairin dan pemimpin-pemimpin PBS yang lain untuk menyertainya.

BN telah mengumumkan secara rasmi kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah bahawa ia telah mengukuhkan kedudukan majoriti dalam DUN dan harus diberi mandat untuk menubuhkan kerajaan negeri dengan YB Tan Sri Sakaran Dandai, Ketua Perhubungan UMNO Sabah sebagai Ketua Menteri Sabah.

17 Mac 1994

Datuk Pairin meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah pada jam 1.50 petang dengan alasan PBS kini hanya mempunyai 22 ADUN sahaja. Seterusnya, beliau mengadakan sidang akhbar perletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah di Seri Gaya pada jam 2.00 petang.

Pada jam 2.30 petang, Datuk Bernard mengumumkan penyerahan permohonan penubuhan PDS bersama-sama dengan 21 pemimpin PBS iaitu YB Datuk Wilfred Bumburing, YB Datuk Steven Kutai, YB Datuk Monggoh Orou, YB George Sangkin, YB Gisin Lombut, YB Markus Majihi, YB Datuk Baggai Basirun, YB Ewon Ebin, YB Siringan Gubat, YB Datuk Wences Angang, YB Datuk Kadoh Agundong, YB Jahid Jahim, YB Datuk Lawrence Gimbang, YB Joseph Sitin Saang, YB Dr. Othman Minudin, YB Radin Maleh, YB Saibul Supu, James Ligunjang, Claudius Sundang Alex, Alex Martin dan Daniel John.

Pada jam 3.00 petang, Tan Sri Sakaran Dandai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah.

18 Mac 1994

Datuk Pairin menyerahkan tugas Ketua Menteri kepada Tan Sri Sakaran Dandai di pejabat Ketua Menteri. Persidangan Dewan Undangan Negeri diadakan. Para ADUN dan ahli kabinet BN mengangkat sumpah.

10 April 1994

Datuk Kadoh Agundong, Naib Presiden PDS Penaja PDS dan YB Jahid Jahim, Ahli Majlis Tertinggi PDS bertindak meninggalkan PDS dan kemudiannya menyertai AKAR

12 April 1994

Datuk Markus Majihi meninggalkan PBRS dan menyertai PDS. Beliau sebelum ini merupakan Ahli Majlis Tertinggi PDS.

15 April 1994

YB George Sangkin meninggalkan PDS dan menyertai AKAR.

23 April 1994

YB Datuk Monggoh Orow, Bendahari Agung Penaja PDS meninggalkan PDS dan menyertai AKAR. Pada ketika ini, PDS masih mempunyai 12 ADUN dan 2 ADR, sekaligus menjadi parti yang kedua terbesar selepas UMNO.

11 Jun 1994

PDS diterima sebagai salah satu daripada parti komponen BN.

Kronologi peristiwa kejatuhan Kerajaan PBS ini membuktikan bahawa PDS ditubuhkan oleh bekas wakil-wakil rakyat PBS selepas kejatuhan kerajaan tersebut. Jika dilihat secara terperinci dari segi proses pembentukan PDS, khususnya penglibatan Datuk Pairin dalam membuat keputusan menubuhkan PDS pada malam 14 Mac 1994, PDS sememangnya ditubuhkan dengan restu barisan kepimpinan PBS ketika itu, khususnya dari kalangan Kadazandusun. Untuk rekod sejarah, Datuk Pairin telah membuat kenyataan akhbar pada 17 Mac 1994, yang dipetik oleh akhbar nasional sebagai,

“The turns of events have brought about a situation much different from that of 21 February, 1994 when I was sworn in as the Chief Minister of Sabah after the Parti Bersatu Sabah had won 25 seats. With the appointment of the six nominated assemblymen, the total was brought to 31 seats. The situation is now reversed with the Barisan Nasional having majority of 33 seats to PBS’ 21 thus paving the way for it to form the new government…” he told a packed press conference at his former official residence Seri Gaya. – New Straits Times, 18 March 1994.

Ini menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin PDS masih lagi ahli PBS pada ketika Datuk Pairin meletak jawatan. Kronologi ini membuktikan bahawa pemimpin PDS atau UPKO sekarang bukanlah para pemimpin yang tamak dan gila kuasa seperti yang difitnah. Mereka merasakan tanggungjawab untuk mempastikan agar semua kaum di Sabah menikmati pembangunan dan kemajuan melalui perwakilan yang efektif dan perkongsian kuasa secara formal dalam Barisan Nasional.

ASAS perjuangan UPKO ialah membela maruah golongan masyarakat minoriti Malaysia dari Sabah. Ini bererti masyarakat minoriti berhak terlibat secara aktif dalam proses penggubalan dasar dan pembuatan kerajaan.

Dengan cara inilah Upko dapat membela maruah masyarakat minoriti melalui peningkatan pencapaian pembangunan sosio-ekonomi. Parti ini telah berjuang dengan sedaya-upaya melahirkan masyarakat KadazanDusun Murut (KDM) yang mampu bersaing dalam sistem pasaran ekonomi bebas dengan sistem-sistem nilai dan kerangka mental baru yang dapat menangani dan menghadapi cabaran-cabaran pembangunan abad ke 21 demi tercapainya masyarakat KDM baru.

Sama ada masyarakat KDM sedar ataupun tidak, proses perubahan sosio-budaya sudahpun berlaku. Oleh itu, barisan kepimpinan Upko menyokong apa juga dasar kerajaan untuk menyerapkan nilai-nilai keagamaan yang murni yang terdapat dalam kesemua agama ke sistem nilai masyarakat.

Para pemimpin Upko di semua peringkat telah bekerja keras dengan penuh komitmen membawa dan membimbing rakyat ke arah kecemerlangan pembangunan sosio-ekonomi. Parti ini telah dan akan terus melaksanakan program-program melalui tindakan jawatankuasa-jawatankuasa petugas khas parti seperti berikut:

  • Jawatankuasa Petugas Khas Ekonomi
  • Jawatankuasa Petugas Khas Kebudayaan KDM berhubung dengan Dasar
  • Kebangsaan dan Dasar Bahasa Penghantar Rasmi
  • Jawatankuasa Petugas Khas Kedudukan KDM dalam Perkhidmatan Awam (Negeri dan Persekutuan)
  • Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan Pendidikan dan Sumber Tenaga Manusia KDM
  • Jawatankuasa Petugas Khas Wanita dalam Pembangunan
  • Jawatankuasa Petugas Khas Komunikasi dalam Pembangunan
  • Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan Pertanian dan Perindustrian
  • Jawatankuasa Petugas Khas Kewarganegaraan
  • Jawatankuasa Petugas Khas Kemiskinan
  • Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan Belia dan Kepimpinan
  • Jawatankuasa Petugas Khas Perubatan dan Kesihatan

Dengan adanya jawatankuasa-jawatankuasa ini, kedudukan Upko sebagai wadah perjuangan masyarakat KDM akan lebih kukuh lagi dan seterusnya menjadi sumbangan tidak ternilai Upko kepada kemantapan perjuangan Barisan Nasional menuju Wawasan 2020.

Kegagalan calon-calon BN daripada PDS dalam pilihanraya DUN pada bulan Mac 1999 menunjukkan bahawa parti tersebut masih gagal menyatupadukan seluruh masyarakat Kadazandusun dan rumpun Pasokmomogun dalam satu gagasan pertubuhan politik. Ini terbukti apabila para pengundi daripada N16 Moyog tidak menyokong dan tidak mengundi Tan Sri Bernad Dompok, Presiden PDS. Akibatnya, perkhidmatan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah dalam sistem penggiliran yang diperkenalkan sejak tahun 1994 juga terhenti begitu juga.

Majoriti ahli masyarakat Kadazandusun juga turut hampa kerana kegagalan Huguan Siou Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan untuk kembali menubuhkan kerajaan Sabah meskipun tema perjuangan “Koguli Tokou Wagu” (kita akan kembali berkuasa) begitu lantang kedengaran terutama semasa kempen. Slogan ini merupakan satu faktor utama pengalihan undi kaum Kadazandusun yang tidak mempercayai bahawa PBS tidak mungking akan berkuasa kembali berdasarkan kepada perubahan sempadan pilihanraya yang baru.

Dalam kehibaan, satu suasana hening dan periksa diri telah berlaku dikalangan rakyat KDM. “Kenapakah orang kita tidak boleh bersatu kembali?” “Kenapakah kita tidak dapat menentukan hala tuju perjuangan kita yang sebenarnya?” “Kenapakah kita tidak dapat menentukan di mana asas dan tempat kita yang sebenar untuk membela hak-hak bangsa kita?” dan banyak lagi persoalan terus kedengaran di merata tempat. Pada masa yang sama, segolongan rakyat termasuklah para pemimpin PDS telah mulai sedar bahawa sesungguhnya, orang-orang Kadazandusun sudah jauh terpesong kerana berpecah-belah dalam perjuangan mereka. Orang Kadazandusun menjadi ahli kepada semua parti-parti politik yang berdaftar di Sabah kecuali dalam parti Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC).

Kesedaran baru timbul dan tercetuslah seruan bangsa Kadazandusun yang menjadi tema perjuangan PDS iaitu “Misompuru Tokou Wagu” atau “Mari Kita Bersatu Kembali”. Tetapi PDS yang dilahirkan kerana kejatuhan Kerajaan PBS tidak mampu mengangkat seruan tersebut. Justeru itu, para pemimpin PDS membuat keputusan untuk mengorbankan parti tersebut untuk membolehkan pertubuhan politik yang telah diasaskan untuk menyatupadukan bangsa Kadazandusun di awal kesedaran politik bangsa mereka iaitu UPKO dihidupkan kembali. Langkah ini ibarat kata pepatah, “Kalau sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan”. Asal mula perjalanan bagi Kadazandusun ialah UPKO kerana inilah pertubuhan politik yang telah diasaskan oleh barisan pemimpin orang-orang Kadazandusun yang memulakan kebangkitan dan kesedaran politik bangsa iaitu Dato Donald Stephens, G.S. Sundang, Datuk Peter Mojuntin dan ramai lagi yang lain.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PDS pada 28 Julai 1999 telah sebulat suara bersetuju untuk mengorbankan PDS. Dalam persidangan tahunan PDS yang kelima pada tahun 1999 di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort, usul untuk meminda nama parti kapada UPKO menjadi salah satu topik perbahasan yang utama. Para perwakilan telah sebulat suara bersetuju untuk mengorbankan PDS demi UPKO. Bendera PDS telah diturunkan dan pada masa yang sama bendera UPKO dinaikkan. UPKO kemudiannya dilancarkan semula di Dewan Masyarakat Ranau pada 30 Oktober 1999.

Kewujudan UPKO sekali lagi telah memberi nafas baru kepada usaha perpaduan yang sekian lama terabai kerana kehadiran pelbagai parti yang dikatakan mewakili bangsa Kadazandusun. UPKO yang dilihat pada hari ini akan mewakili semua suku kaum Anak Negeri yang ada di Sabah. Ia akan dilihat seperti satu gagasan di mana perjuangan setiap suku kaum Anak Negeri akan didengari. Pada ketika ini, tidak lagi wujud kumpulan-kumpulan yang dikatakan sebagai pembela kaum anak negeri tetapi kesemua kaum Anak Negeri seperti Rungus, Murut, Liwan, Tagaas, Lotud, Bakud, Bundu, Kwijau dan Tangara akan bernaung di bawah UPKO.

Keindahan yang dapat dilihat hasil daripada kewujudan Parti UPKO adalah sebenarnya sedang berada di dalam arus pembangunan yang sebenar kerana parti ini sekarang merupakan komponen Barisan Nasional (BN) yang memperjuangkan hak-hak masyarakat Kadazandusun Murut. UPKO akan menjadi perantaraan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk membawa kesejahteraan yang diharapkan oleh semua suku kaum Kadazandusun selama ini.

Dalam era ini juga, setiap anggota masyarakat Kadazandusun Murut mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membantu merealisasikan matlamat pembangunan masyarakat ini. Untuk tujuan ini, parti akan berusaha meningkatkan taraf pendidikan, mengubah paradigma pemikiran, membentuk nilai-nilai kepimpinan berwawasan, mempertingkatkan kebijaksanaan dan keupayaaan pengurusan termasuk pengurusan masa, mempertingkatkan keyakinan diri, menanamkan sikap peneroka dan budaya korporat, memperteguhkan institusi keluarga, mengembleng sumber manusia terutama sekali wanita dan belia, mempertingkatkan kesedaran kesan globalisasi ekonomi, menanamkan sikap, disiplin, berertika, bermoral tinggi dan beramanah, mempertingkatkan kegiatan penyelidikan, memperhebatkan komunikasi pembangunan dan pengukuhan institusi-institusi sosial di akar umbi.