SUMBANGAN-SUMBANGAN UPKO UNTUK MASYARAKAT KADAZANDUSUN MURUT DAN SUKU BANGSA PASOKMOMOGUN

Sesuai dengan matlamat penubuhannya iaitu memperjuangkan hak-hak dan kepentingan serta menjadi saluran aspirasi masyarakat KDM dan suku bangsa Pasokmomogun yang lain, UPKO telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan bangsa ini berada di dalam landasan pembangunan yang betul sejak tahun 1994. Sumbangan parti UPKO ialah:

Penubuhan Institut Kemajuan Ekonomi Anak Negeri Sabah (INDEP)

INDEP ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai sebuah organisasi penyelidikan profesional hasil cetusan idea Tan Sri Bernard Dompok dan mendiang Datuk Dr. James Ongkili. INDEP bertitik tolak daripada keinginan masyarakat kaum Kadazandusun untuk turut serta dalam resolusi-resolusi pembangunan, khususnya yang melibatkan kepentingan kaum KDM dan suku-suku bangsa Pasokmomogun yang lain. Matlamat-matlamat penubuhan INDEP ialah menggalak dan menambahkan kepakaran serta pembuatan keputusan yang terselidik di kalangan individu anak negeri dan organisasi-organisasi yang ditubuhkan oleh masyarakat anak negeri serta membantu dalam penyertaan anak negeri ke dalam proses pembangunan negara bangsa.
Pemimpin UPKO memperakui bahawa isu-isu pembangunan yang melibatkan kaum KDM sangat mudah difahami dan ianya memang sudah didokumentasikan dengan cukup baik, khususnya mengenai kemiskinan di luar bandar dan penyertaan kaum KDM dalam bidang perdagangan dan perindustrian. Walaupun dasar-dasar dan rancangan-rancangan kerajaan telah menyediakan program untuk menangani kedua-dua isu tersebut, namun ia dilihat tidak mencapai kumpulan sasaran yang sebenarnya. Maka, INDEP ditubuhkan sebagai sebuah institusi pemikir atau think-tank yang menyediakan hasil-hasil penyelidikan supaya pemimpin UPKO boleh memberikan respon kepada dasar-dasar kerajaan tersebut.

Sehingga kini, INDEP telah melaksanakan beberapa projek penyelidikan yang menyentuh mengenai isu-isu KDM dan masyarakat anak negeri Sabah yang lain.

Penubuhan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KKCI)

Penubuhan KCCI merupakan satu kejayaan yang menonjol oleh UPKO dalam usaha untuk membawa perubahan pembangunan ekonomi masyarakat kaum KDM. KCCI ditubuhkan pada tahun 15 Februari 1996 yang bertujuan antara lainnya untuk menyatupadukan para peniaga dan tenaga mahir KDM untuk kepentingan dan kemudahan masyarakat ini, menjadikan organisasi perniagaan dalam sektor komersil dan industri serta bekerjasama dengan dewan-dewan perniagaan lain yang mempunyai objektif sama.

Penubuhan KCCI bertitik tolak daripada kesedaran pemimpin UPKO mengenai pewujudan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang telah mendominasi pemikiran kerajaan dalam penyediaan semua rancangan Malaysia bermula daripada Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) sehingga Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000). Malah MPPB merupakan satu isu yang terus diberi perhatian serius dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010). Pelan sebenar penjuruteraan sosial guna meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam perdagangan dan industri bermula daripada Rancangan Malaysia Kedua (1971-1976) apabila Kerajaan Barisan Nasional pada ketika itu memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Antara lain matlamat dasar ini adalah meningkatkan ekuiti pemilikan korporat di kalangan Bumiputera kepada 30 peratus menjelang tahun 1990.

Orang-orang Melayu di Semenanjung Malaysia telah mengorak langkah yang sungguh terpuji ke arah mencapai pembangunan usahawan maju kaum itu sejak 30 tahun lepas. Sudah tentulah mereka mencapai kejayaan tersebut di bawah bimbingan institusi politik yang kuat dan mengkhusus kepada perjuangan kepentingan Melayu, iaitu UMNO dan BN. Dalam tempoh empat dekad sehingga kini, mereka masih menimati senario yang begitu selesa dalam soal keusahawanan, contohnya melalui penganugerahan projek-projek kerajaan dan penyertaan wajib dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

UPKO sebagai satu parti yang berkepentingan KDM telah mengambil langkah untuk menubuhkan KCCI sebagai wadah untuk menyatupadukan golongan usahawan kaum ini dan juga menyediakan saluran kepada mereka untuk memperkembangkan rangkaian perniagaan. UPKO melihat mekanisme institusional KCCI yang efektif sebagai sangat penting terutamanya dalam memberikan respon secara berkesan kepada dasar-dasar kerajaan seperti DEB dan Rancangan-Rancangan Malaysia. Inilah salah satu keutamaan yang diberi perhatian serius oleh pemimpin UPKO supaya kaum KDM juga berupaya membentuk komuniti perdagangan dan perindustrian menjelang tahun 2020.

Pengiktirafan Kerajaan BN terhadap KCCI merupakan satu titik sejarah dalam proses pembentukan Komuniti Perdagangan dan Perindustrian KDM. Sejak penubuhannya, KCCI telah diberikan beberapa projek seperti pembinaan 5,000 unit rumah kos rendah di seluruh Sabah, pengurusan kawasan pembalakan di bawah program Forest Management Unit (FMU), pembinaan sekolah dan beberapa buah projek lain. KCCI juga menganjurkan pelbagai seminar dan kongres ekonomi, termasuklah dengan kerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI). KCCI juga mewujudkan satu direktori khas usahawan-usahawan KDM dalm bentuk buku dengan harapan ianya dapat menjadi sumber maklumat untuk meningkatkan rangkaian perhubungan di kalangan mereka sendiri. Tidak syak lagi kejayaan ini akan memangkinkan lagi pencapaian masyarakat kaum KDM supaya lebih maju dalam bidang ekonomi. Kejayaan penubuhan KCCI ini didukung oleh ideologi UPKO yang ketiga, iaitu berjuang untuk membawa suku bangsa kita ke tahap pembangunan dan kemajuan sehinggalah mencapai status “suku bangsa maju”.

Penubuhan Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF)

Menyedari hakikat bahawa kurangnya penyelidikan dan usaha untuk mempertahankan bahasa Kadazandusun, pemimpin UPKO khususnya melalui Tan Sri Bernard telah memulakan satu pusat penyelidikan yang dinamakan Pusat Bahasa Kadazan (KLC) pada tahun 1994. Usaha-usaha yang dilakukan termasuklan meminta kerajaan supaya memasukkan Bahasa Kadazandusun sebagai satu kurikulum di sekolah kebangsaan. Pada bulan Disember 1994, satu mesyuarat di kalangan ahli-ahli penaja telah dibuat untuk membincangkan kemungkinan menubuhkan Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF). Pada 20 Jun 1995, KLF telah didaftarkan secara rasmi. Matlamat penubuhan KLF adalah untuk memelihara, mempromosi dan membangunkan bahasa Kadazandusun serta bahasa-bahasa suku kaum Pasokmomogun yang lain. Selain itu, KLF juga bertindak sebagai fasilitator untuk penubuhan Pusat Bahasa Murut dan Pusat Bahasa Rungus.

Sejak penubuhannya, KLF telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan usaha-usaha penggalakan kebertanggungjawaban terhadap pembangunan bahasa Kadazandusun di kalangan ahli masyarakatnya. Falsafah KLF menyatakan bahawa penyertaan daripada kalangan ahli masyarakat terhadap usaha-usaha yang dibuat merupakan kayu ukuran terhadap kelangsungan atau survival bahasa Kadazandusun. Sebagai sebuah organisasi koordinator, KLF telah melaksanakan pelbagai program yang antara lainnya ialah memberikan pengetahuan asas mengenai linguistik Kadazandusun, menyediakan perkhidmatan sokongan teknikal, nasihat dan konsultasi, sokongan pembiayaan, penerbitan hasil-hasil literasi tempatan, perkhidmatan alih bahasa serta penganjuran pelbagai bengkel dan seminar.

Penubuhan KLF ini merupakan salah satu usaha UPKO untuk memartabatkan bangsa KDM. Kejayaan ini didasari oleh ideologi UPKO yang kedua, iaitu berjuang untuk membangun dan mempromosikan kebudayaan, bahasa, sistem nilai-nilai murni, kepercayaan dan agama masing-masing. Tanpa syak lagi, usaha tulen ini memberi jaminan bahawa rumpun bahasa Kadazandusun tidak akan hilang di dunia selagi UPKO terus kekal!

Penubuhan Persatuan Pendidik Kadazandusun (PEKADUS)

Selepas KLF ditubuhkan untuk mengkoordinasikan pembangunan bahasa Kadazandusun, kemudian pengenalan kurikulum Bahasa Kadazandusun di sekolah-sekolah kerajaan, UPKO juga menyedari bahawa kebajikan guru-guru yang terlibat dalam kurikulum ini juga mesti dijaga. Soal-soal seperti elaun mengajar merupakan satu isu yang disampaikan oleh pemimpin UPKO kepada pihak kerajaan. Pada tahun 1998, UPKO menggalakkan supaya satu organisasi di kalangan guru-guru yang terlibat diwujudkan supaya kebajikan mereka ini boleh dibincangkan secara lebih sistematik dan terselidik.

PEKADUS ditubuhkan dengan rasminya pada 20 Februari 1998 yang bertujuan untuk mewujudkan jaringan antara pendidik KDM, meningkatkan kesedaran ibubapa ke arah peningkatan prestasi pencapaian pelajar KDM, bekerjasama dengan organisasi lain yang mempunyai objektif sama terhadap kecemerlangan pendidikan dan menjadi saluran untuk mengutarakan hal-hal yang berkaitan dengan kemajuan pendidikan selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Selain daripada soal-soal kebajikan pendidik, PEKADUS juga mengadakan beberapa siri motivasi kecemerlangan di kalangan pelajar.

Dalam konteks perjuangan UPKO, penubuhan PEKADUS merupakan satu lagi pencapaian ke arah menginstitunalisasikan masyarakat KDM. UPKO percaya bahawa penubuhan organisasi yang mempunyai matlamat khusus sangat penting kerana ia boleh memberi sumbangan terhadap proses pembangunan negara bangsa.

Kerusi Pengajian Bahasa Kadazandusun di Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Hubungan baik di antara pemimpin UPKO dengan pemimpin BN yang lain, khususnya dalam Kabinet Persekutuan merupakan satu usaha murni yang dipupuk sejak penubuhannya pada tahun 1994. UPKO percaya bahawa hubungan baik dan kesetiaan kepada teras perjuangan BN merupakan asas kepada beberapa kejayaan parti. Semasa Tan Sri Bernard menjadi Ketua Menteri Sabah pada tahun 1998, beliau telah meminta kepada Kerajaan Persekutuan supaya satu kerusi pengajian Bahasa Kadazandusun diwujudkan di Universiti Malaysia Sabah. Permintaan ini telah disampaikan kepada Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Menteri Pendidikan ketika itu yang kemudiannya mengumumkan bahawa kerusi pengajian tersebut akan diwujudkan pada tahun 1999. Malah, kerajaan juga telah memberikan geran sebanyak RM 2 juta kepada kerusi tersebut. Pencapaian ini merupakan satu lagi kejayaan terbesar UPKO dalam memartabatkan bangsa KDM.

Pengiktirafan Perayaan Tadau Kaamatan Sebagai Perayaan Kebangsaan

UPKO merupakan satu-satunya parti politik Malaysia yang mengadakan sambutan rumah terbuka sempena perayaan Pesta Menuai atau “Tadau Kaamatan”. Setiap tahun, rumah terbuka Tadau Kaamatan UPKO akan dihadiri oleh ribuan penduduk Malaysia, termasuklah dari kalangan pemimpin-pemimpin politik dari kaum lain. Sebagai parti tunggal berasaskan KDM dalam BN, UPKO percaya bahawa perayaan ini mesti diberi penghormatan yang besar di peringkat parti, sama seperti UMNO menganjurkan rumah terbuka Hari Raya Puasa, MCA sempena Tahun Baru Cina dan MIC sempena Hari Deepavali.

Pada tahun 2001, Kerajaan Persekutuan telah merangka satu kalendar tahunan yang antara lainnya memuatkan perayaan-perayaan utama setiap kaum. UPKO telah meminta supaya Tadau Kaamatan dijadikan sebagai salah satu perayaan kebangsaan. Hasilnya, perayaan ini menjadi salah satu daripada enam perayaan utama nasional selain daripada Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan Gawai Dayak. Buat pertama kalinya dalam sejarah sejak Tadau Kaamatan dijadikan acara rasmi Kerajaan Negeri Sabah, perayaan ini telah dianjurkan di Kuala Lumpur dan mendapat sokongan penuh Kerajaan Persekutuan hasil usaha murni yang dilakukan oleh para pemimpin UPKO.

Selain itu, UPKO juga telah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya tanggal 31 Mei dijadikan sebagai cuti umum persekutuan bagi membolehkan rakyat Malaysia yang merayakan Tadau Kaamatan dan Gawai agar perasaan cintakan negara dapat diraikan sepertimana ketika negara berehat seketika untuk menyambut Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Cadangan ini dibuat di atas nama integrasi memandangkan terdapat ribuan orang Kadazandusun bekerja di Semenanjung Malaysia.

Penginstitunalisasian Sistem Sosial KDM

Selain daripada kejayaan-kejayaan seperti di atas, UPKO juga mempelopori banyak kejayaan yang lain. Antaranya penubuhan Persatuan Peneroka-Peneroka Bandar Anak Negeri Sabah (SURIA) yang memperjuangkan hak penduduk KDM di Kg. Matabian, Kota Kinabalu. Penubuhan organisasi seperti Huminodun Foundation pula bertanggungjawab kepada pembangunan kemahiran dan pengetahuan dalam pelbagai aspek di kalangan golongan wanita kaum Kadazandusun. Persatuan Graduan Pasokmomogun (PGA) ditubuhkan untuk menyediakan saluran kepada para graduan Kadazandusun supaya dapat menyumbang ke arah pewujudan satu bangsa yang progresif, inovatif, pro-aktif, bermotivasi, berdaya saing dan dinamik. Federation of Rumpun Momogun Organisation (FORUM) pula ditubuhkan untuk menginstitunalisasikan pertubuhan dan persatuan yang berkepentingan Kadazandusun dalam satu bumbung yang sama. Momogun Society of Malaysia pula ditubuhkan untuk memberikan khidmat kebajikan serta jaringan komunikasi di kalangan orang-orang yang bekerja atau belajar di Semenanjung Malaysia. Di peringkat parti, Pergerakan Komulakan telah ditubuhkan untuk mengkhususkan penyertaan golongan muda yang berumur di antara 18 hingga 28 tahun dan berjaya menarik minat ramai golongan graduan muda, kumpulan profesional, kakitangan kerajaan dan swasta, golongan belia dan persatuan-persatun belia di peringkat kampung.

Perhatian Khusus Untuk Kaum Kadazandusun Murut Di Dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), 2001-2010

Sebagai sebuah parti politik yang berkepentingan kaum KDM, UPKO telah mengadakan beberapa siri persidangan dan konvensyen untuk membincangkan pelaksanaan dasar-dasar ini terutamanya yang mempunyai hubung-kait dengan kumpulan sasaran ini. Antara program berkaitan ialah Memorandum RMK9 kepada Perdana Menteri, Bengkel RMK9, Konvensyen UPKO dan Roundtable Discussion Bajet 2007. Parti ini juga telah memberikan sokongan kepada program anjuran bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) seperti Bengkel RRJP3 dan Kongres Ekonomi Bumiputera Minoriti. Ini menunjukkan pendirian dan komitmen serius parti ini dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Kedudukan pemilikan ekuiti korporat di kalangan kaum Bumiputera masih menjadi isu besar di kalangan golongan pembuat dasar sejak dari era Dasar Ekonomi Baru (DEB), 1971-1990 dan Dasar Pembangunan Negara (DPN), 1991-2000. Dalam tempoh 30 tahun sebelum RRJP3 diperkenalkan, sasaran pemilikan ekuiti korporat di kalangan kaum Bumiputera sebanyak 30 peratus masih belum tercapai. Memang tidak dinafikan bahawa program-program yang diperkenalkan telah menampakkan perubahan yang besar kepada sebahagian besar masyarakat Bumiputera, khususnya bagi kaum Melayu di Semenanjung Malaysia. Namun, program ini tidak banyak dinikmati atau dirasai oleh kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Hakikat ini diperakui dalam Laporan Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II) yang menyatakan,

“Walaupun terdapat kemajuan dalam pelaksanaan DEB dan DPN, namun masih terdapat beberapa kekurangan, kekangan dan kelemahan yang perlu diberi perhatian dalam menggubal pendekatan dan strategi selepas tahun 2000:-

(c) Bahawa kedudukan golongan minoriti yang terdiri daripada kaum tertentu di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli dan golongan terpinggir lain masih jauh ketinggalan dalam bidang perdagangan dan perindustrian, pemilikan ekuiti, guna tenaga, pendidikan dan dengan itu harus diberi perhatian yang serius.” (Muka surat: 347-349)

Berdasarkan kepada perakuan ini, RRJP3 telah digubal yang antara lainnya mempunyai matlamat untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pemilikan ekuiti korporat di kalangan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Untuk itu, terma baru telah diperkenalkan, iaitu Bumiputera Minoriti yang digunakan untuk merujuk kepada suku kaum Kadazandusun, Iban, Bajau, Murut, Bidayuh dan Melanau. Buat pertama kalinya dalam sejarah penggubalan dasar-dasar dan rancangan kerajaan, satu tumpuan khusus telah dinyatakan akan diberikan kepada kumpulan sasaran ini. RRJP3 menyatakan, “Kerajaan akan menjalankan penyiasatan yang khusus mengenai pendapatan isi rumah di Sabah dan Sarawak untuk menentukan kedudukan kemiskinan, tahap pendapatan dan kualiti hidup di berbagai tempat serta di kalangan berbagai kumpulan Bumiputera seperti Kadazandusun, Iban, Bajau, Murut dan Bidayuh dan Melanau. Penemuan penyiasatan akan digunakan untuk memperbaiki lagi langkah membasmi kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Sabah dan Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman dan terpencil.” (Muka surat: 94-95)

“Dalam tempoh RRJP3, usaha yang gigih akan dijalankan untuk meningkatkan penyertaan berkesan Bumiputera serta pemilikan ekuiti Bumiputera sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2010. Penyusunan semula ini akan dilaksanakan dalam konteks pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan peluang lebih banyak untuk smeua rakyat Malaysia dan tanpa perlu mengambil langkah penyusunan semula mikro bagi usaha niaga sedia ada. Perhatian khusus akan diberi untuk meningkatkan pemilikan ekuiti di kalangan Bumiputera di Sabah dan Sarawak seperti Kadazandusun, Iban, Bajau, Murut, Bidayuh dan Melanau.” (Muka surat: 97-98).

Perakuan-perakuan dalam dasar dan rancangan Kerajaan ini membuktikan bahawa isu yang telah lama menghantui masyarakat Bumiputera Minoriti, khususnya suku kaum KDM sebenarnya mendapat perhatian daripada pihak Kerajaan Persekutuan. Ini merupakan sebahagian pencapaian UPKO yang sangat penting terutamanya kerana mempunyai wakil Kabinet Persekutuan yang berfikiran intelek dan berani iaitu Tan Sri Bernard Dompok.

Perhatian Khusus Untuk Kaum Kadazandusun Murut Di Dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), 2001-2010

Sebagai sebuah parti politik yang berkepentingan kaum KDM, UPKO telah mengadakan beberapa siri persidangan dan konvensyen untuk membincangkan pelaksanaan dasar-dasar ini terutamanya yang mempunyai hubung-kait dengan kumpulan sasaran ini. Antara program berkaitan ialah Memorandum RMK9 kepada Perdana Menteri, Bengkel RMK9, Konvensyen UPKO dan Roundtable Discussion Bajet 2007. Parti ini juga telah memberikan sokongan kepada program anjuran bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) seperti Bengkel RRJP3 dan Kongres Ekonomi Bumiputera Minoriti. Ini menunjukkan pendirian dan komitmen serius parti ini dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Kedudukan pemilikan ekuiti korporat di kalangan kaum Bumiputera masih menjadi isu besar di kalangan golongan pembuat dasar sejak dari era Dasar Ekonomi Baru (DEB), 1971-1990 dan Dasar Pembangunan Negara (DPN), 1991-2000. Dalam tempoh 30 tahun sebelum RRJP3 diperkenalkan, sasaran pemilikan ekuiti korporat di kalangan kaum Bumiputera sebanyak 30 peratus masih belum tercapai. Memang tidak dinafikan bahawa program-program yang diperkenalkan telah menampakkan perubahan yang besar kepada sebahagian besar masyarakat Bumiputera, khususnya bagi kaum Melayu di Semenanjung Malaysia. Namun, program ini tidak banyak dinikmati atau dirasai oleh kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Hakikat ini diperakui dalam Laporan Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II) yang menyatakan,

“Walaupun terdapat kemajuan dalam pelaksanaan DEB dan DPN, namun masih terdapat beberapa kekurangan, kekangan dan kelemahan yang perlu diberi perhatian dalam menggubal pendekatan dan strategi selepas tahun 2000:-

(c) Bahawa kedudukan golongan minoriti yang terdiri daripada kaum tertentu di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli dan golongan terpinggir lain masih jauh ketinggalan dalam bidang perdagangan dan perindustrian, pemilikan ekuiti, guna tenaga, pendidikan dan dengan itu harus diberi perhatian yang serius.” (Muka surat: 347-349)

Berdasarkan kepada perakuan ini, RRJP3 telah digubal yang antara lainnya mempunyai matlamat untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pemilikan ekuiti korporat di kalangan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Untuk itu, terma baru telah diperkenalkan, iaitu Bumiputera Minoriti yang digunakan untuk merujuk kepada suku kaum Kadazandusun, Iban, Bajau, Murut, Bidayuh dan Melanau. Buat pertama kalinya dalam sejarah penggubalan dasar-dasar dan rancangan kerajaan, satu tumpuan khusus telah dinyatakan akan diberikan kepada kumpulan sasaran ini. RRJP3 menyatakan, “Kerajaan akan menjalankan penyiasatan yang khusus mengenai pendapatan isi rumah di Sabah dan Sarawak untuk menentukan kedudukan kemiskinan, tahap pendapatan dan kualiti hidup di berbagai tempat serta di kalangan berbagai kumpulan Bumiputera seperti Kadazandusun, Iban, Bajau, Murut dan Bidayuh dan Melanau. Penemuan penyiasatan akan digunakan untuk memperbaiki lagi langkah membasmi kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Sabah dan Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman dan terpencil.” (Muka surat: 94-95)

“Dalam tempoh RRJP3, usaha yang gigih akan dijalankan untuk meningkatkan penyertaan berkesan Bumiputera serta pemilikan ekuiti Bumiputera sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2010. Penyusunan semula ini akan dilaksanakan dalam konteks pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan peluang lebih banyak untuk smeua rakyat Malaysia dan tanpa perlu mengambil langkah penyusunan semula mikro bagi usaha niaga sedia ada. Perhatian khusus akan diberi untuk meningkatkan pemilikan ekuiti di kalangan Bumiputera di Sabah dan Sarawak seperti Kadazandusun, Iban, Bajau, Murut, Bidayuh dan Melanau.” (Muka surat: 97-98).

Perakuan-perakuan dalam dasar dan rancangan Kerajaan ini membuktikan bahawa isu yang telah lama menghantui masyarakat Bumiputera Minoriti, khususnya suku kaum KDM sebenarnya mendapat perhatian daripada pihak Kerajaan Persekutuan. Ini merupakan sebahagian pencapaian UPKO yang sangat penting terutamanya kerana mempunyai wakil Kabinet Persekutuan yang berfikiran intelek dan berani iaitu Tan Sri Bernard Dompok.

Penubuhan Unit Khas Bagi Bumiputera Bukan Melayu Di Jabatan Perdana Menteri

Sebagai parti yang sentiasa mengemukakan idea-idea bersifat progresif, UPKO menerima baik dasar-dasar pemandu da;am sosial ini seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Wawasan Negara, Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) dan yang seumpamanya. UPKO juga sangat mengalu-alukan jaminan YAB Perdana Menteri bahawa ketidakseimbangan wilayah akan ditangani di dalam RMK9. Bagaimanapun, sepertimana perakuan di dalam MAPEN II, kaum Bumiputera Minoriti di Sabah dan Sarawak masih lagih jauh ketinggalan dalam bidang perdagangan dan perindustrian, pemilikan ekuiti, guna tenaga dan pendidikan. UPKO sentiasa mengemukakan pendirian dan permintaan-permintaan samada di dalam bentuk memorandum atau penyertaan di dalam mesyuarat-mesyuarat kabinet. UPKO berpendapat bahawa pelaksanaan DEB harus memberikan fokus khusus kepada Bumiputera Bukan Melayu di negara ini kerana dasar tersebut pastinya tidak akan mencapai objektif asal sekiranya kepentingan kaum tersebut tidak ditangani dengan lebih telus.

Maka dengan itu, Tan Sri Bernard Dompok selaku wakil UPKO di dalam kabinet Persekutuan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri telah menyampaikan keprihatinan dan pendirian UPKO terhadap isu ini. Akhirnya, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia telah bersetuju dengan permintaan UPKO untuk menubuhkan satu unit khas melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri untuk menangani penyertaan kaum Bumiputera Bukan Melayu seperti Kadazandusun Murut di dalam pelaksanaan dasar-dasar dan program-program kerajaan. Malah Tan Sri Bernard sendiri merupakan menteri yang bertanggungjawab secara langsung di dalam pembentukan unit tersebut.

Penubuhan unit khas ini merupakan satu lagi kejayaan dan sumbangan UPKO terhadap masyarakat KDM dan suku bangsa Pasokmomogun yang lain, termasuklah suku bangsa Bumiputera Bukan Melayu yang lain. Penubuhan unit ini juga memberikan harapan baru kepada status penyertaan kaum-kaum ini di dalam arus perdana pembangunan negara. Kejayaan ini sejajar dengan ideologi UPKO yang ketiga iaitu berjuang untuk membawa suku bangsa kita kepada satu tahap pembangunan dan kemajuan sehinggalah mencapai status suku bangsa maju menjelang tahun 2020.

Pendirian Mengenai Isu Pembangunan Wilayah (RDA) Di Sabah

UPKO sentiasa prihatin dengan jurang perbezaan pembangunan wilayah yang geitu ketara di antara kawasan bandar dan luar bandar serta di antara negeri Sabah dengan Semenanjung Malaysia. UPKO mengakui bahawa ketidakseimbangan pembangunan ini memberikan kesan langsung kepada masyarakat KDM terutamanya kerana banyak penduduk KDM tinggal di kawasan luar bandar. Maka dengan itu, UPKO telah mengemukakan memorandum RMK9 kepada YAB Perdana Menteri yang mengandungi cadangan-cadangan untuk dimasukkan penggubalan dasar tersebut.

UPKO telah mengambil penubuhan Lembaga Kemajuan Wilayah (RDA) di Semenanjung Malaysia iaitu DARA di Pahang, KEJORA di Johor, KEDA di Kedah, PERDA di Pulau Pinang, KESEDAR di Kelantan dan KETENGAH di Terengganu sebagai perbandingan keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar pembangunan kerajaan. DARA yang dibubarkan pada 1 November 2000 selepas 30 tahun ditubuhkan telah berjaya menjumlah-sifarkan keluarga isi rumah termiskin di dalam kawasan liputannya. Lembaga ini juga telah membentuk potensi pembangunan baru kerana ia mewujudkan bandar-bandar baru dan menstrukturkan semula masyarakat di kawasannya.

Maka dengan itu, UPKO juga telah mencadangkan supaya RDA juga diwujudkan di Sabah. Tan Sri Bernard Dompok sebagai Ahli Parlimen P.179 Ranau dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bersama-sama dengan Sentor Tan Sri Kasitah Gadam telah memulakan inisiatif pelan pembangunan Ranau sepuluh tahun, 2001 – 2010 yang kemudiannya akan dikenali sebagai Lembaga Kemajuan Wilayah Ranau. Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar telah memberikan peruntukan sebanyak RM 1 juta untuk mengadakan kajian terperinci terhadap isu-isu dan cadangan-cadangan pembangunan di Ranau. Akhirnya pada 16 Februari 2005, cadangan RDA Ranau telah dibentangkan di dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan yang lengkap dengan ulasan-ulasan positif dan sokongan daripada semua agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Kabinet Persekutuan telah bersetuju secara dasarnya untuk menubuhkan RDA Ranau.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Kerajaan Negeri telah memberikan pandangan sebaliknya mengenai cadangan tersebut. Malah ada juga yang mengadakan mesyuarat-mesyuarat di peringkat kawasan untuk menyatakan penentangan dengan alasan ianya akan menghapuskan hak autonomi Kerajaan Negeri Sabah terutamanya di dalam soal-soal tanah, pengurusan sumber-sumber negeri dan pentadbiran daerah. Kekeliruan ini berlaku kerana pemimpin-pemimpin tersebut tidak faham mengenai konsep penubuhan RDA yang hanya menjadi badan pelaksana dan saluran peruntukan khusus pembangunan-pembangunan yang diletak di bawah RDA yang melibatkan anggaran kos pelaksanaan sebanyak RM 760 juta dalam tempoh sepuluh tahun tersebut.

Semasa membentangkan RMK9 pada 31 Mac 2006 di Dewan Rakyat, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia juga telah mengumumkan antara lainnya bahawa Lembaga-lembaga Kemajuan Wilayah yang baru akan diwujudkan di Sabah dan Sarawak. Ini merupakan satu lagi pencapaian UPKO kerana permintaannya telah dimasukkan di dalam dasar pembangunan negara.

Kerajaan Persekutuan juga telah menubuhkan konsep pembangunan baru yang dikenali sebagai Koridor Pembangunan Negara termasuklah di Sabah. UPKO juga telah merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana keprihatinan berterusannya terhadap soal pembangunan di Sabah. Bagaimanapun, Koridore Pembangunan Sabah merupakan satu inisiatif institusi swasta, manakala Lembaga Kemajuan Wilayah pula akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Dengan itu, UPKO telah menyatakan pendiriannya dan mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri semasa Konvensyen UPKO 2007 agar Lembaga Kemajuan Wilayah yang telah dimasukkan di dalam dasar RMK9 dilaksanakan sebagai pelengkap kepada Koridor Pembangunan Sabah.

Pendirian Mengenai Isu Pendatang Asing Di Sabah

UPKO merupakan parti komponen BN yang paling konsisten di dalam menyuarakan keprihatinannya terhadap isu pendatang asing di Sabah yang belum lagi mempunyai penyelesaian mutlak. Di dalam setiap persidangan Parlimen, Ahli Parlimen P.170 Tuaran yang juga merupakan Setiausaha Agung UPKO, YB Datuk Wilfred Madius Tangau sentiasa membangkitkan isu ini. Beliau juga dianggap sebagai “pakar” di dalam isu ini dan telah membuat laporan-laporan polis bagi pihak parti. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen yang paling konsisten untuk mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja terhadap masalah ini.

Selain persidangan Parlimen, UPKO telah menggunakan sepenuhnya

forum-forum yang ada untuk membincangkan isu ini dan seterusnya mengemukakan resolusi atau memorandum kepada Kerajaan. Di dalam mesyuarat-mesyuarat dan konvensyen parti, isu ini merupakan topik yang sentiasa dibahaskan. UPKO telah menyatakan pendirian bahawa BN Sabah perlu mengadakan mesyuarat khas untuk membentuk master plan atau pelan induk yang komprehensif untuk menyelesaikan masalah ini. Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah telah menyatakan bahawa tidak ada keperluan untuk mengadakan mesyuarat tersebut memandangkan kerajaan telah mengambil beberapa langkah yang bersesuaian.

Kedudukan Tan Sri Bernard selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti juga telah mengambil serius isu kebanjiran pendatang asing di Sabah terutamanya selepas menerima banyak aduan awam termasuklah daripada mereka yang mengaku pernah terlibat di dalam projek pengeluaran dokumen kenegaraan kepada pendatang asing di Sabah. Tan Sri Bernard telah meminta supaya jabatan kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negera supaya tampil untuk menjelaskan peranan mereka di dalam isu ini. Walaupun menerima tekanan politik daripada beberapa rakan kabinet serta parti komponen BN yang lain, namun UPKO tidak pernah gentar untuk menyuarakan isu ini.

Pendirian Terhadap Cadangan Pemindahan Setinggan Haram Sri Tanjung Ke Kampung Maang

Pada bulan Mac 2006, penduduk di Kg. Maang telah digemparkan dengan keputusan Kabinet Negeri Sabah yang ingin memindahkan setinggan haram Sri Tanjung, Tanjung Aru ke Kampung Maang, Penampang. Cadangan ini dibuat untuk memberikan laluan kepada projek pembesaran Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA). Parti UPKO sebagai sebuah parti yang prihatin terhadap keperluan rakyat telah membantah sepenuhnya cadangan tersebut. Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Wilfred Bumburing, Philip Lasimbang, Donald Mojuntin dan Fred Mosoom telah menyuarakan penentangan terbuka terhadap cadangan tersebut.

Penentangan UPKO ini berasaskan kepada keraguan mengenai status kerakyatan penghuni-penghuni setinggan Sri Tanjung yang dipercayai mempunyai dokumen seperti MyKad melalui pintu belakang. Walaupun Kerajaan Negeri berulang kali menegaskan bahawa majoriti penghuninya merupakan warganegara tulen, namun UPKO masihberasa sangsi. Kerajaan Negeri akhirnya menubuhkan satu Jawatankuasa Penapis bagi memastikan ketulenan penduduk setinggan haram. Akhirnya, ia mendapati bahawa hanya 200 lebih sahaja penduduk tulen daripada lebih 2,000 orang yang menghuni Sri Tanjung. Ini telah membuktikan keraguan UPKO mengenai status sebenar mereka.

Pendirian UPKO juga berlandaskan kepada kesan-kesan terhadap cadangan tersebut iaitu perubahan landskap politik, sosial dan sistem masyarakat di Penampang apabila satu pemindahan besar yang melibatkan orang asing dilakukan. Kedua-dua wakil rakyat yang mewakili Kampung Maang iaitu YB Philip Lasimbang dan YB Donald Mojuntin turut menyatakan bahawa cadangan tesebut tidak pernah dibincangkan di dalam Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah (LUC) yang memberikan gambaran jelas betapa ianya bertentangan dengan polisi dan prosedur perundangan kerajaan sendiri. Selain itu, Datuk Madius Tangau turut mengemukakan isu terseut di Parlimen dengan menyatakan bahawa projek pembesaran KKIA dibuat secara tergesa-gesa dan telah dimulakan walaupun Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) belum dibuat.

UPKO telah menyokong jawatankuasa ad-hoc badan bertindak khas yang dipengerusikan oleh Fred Mosoom yang mengadakan kaji selidik mengenai penerimaan masyarakat di kawasan sekitar Penampang terhadap cadangan tersebut. Jawatankuasa ini telah mengadakan referendum dan berjaya mendapatkan lebih 5,000 tandatangan penduduk Penampang yang membantah cadangan termasuk. Jawatankuasa ini juga telah mengadakan perhimpunan aman untuk mengemukakan bantahan kepada kerajaan. Tan Sri Bernard sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Biro Aduan Awam Persekutuan telah memainkan peranan penting di dalam memanjangkan bantahan tersebut kepada YAB Perdana Menteri.

Peranan UPKO di dalam isu ini telah menerima kecaman pemimpin-pemimpin parti UMNO Sabah termasuklah gesaan untuk keluar daripada gabungan BN. Ada juga yang melabelkan UPKO sebagai parti pembangkang di dalam BN. Walaupun menerima tekanan politik sedemikian, namun UPKO tidak pernah berasa gentar, sebaliknya terus memperjuangkan aspirasi dan kepentingan masyarakat yang diwakilinya. Akhirnya, cadangan tersebut tidak diteruskan. Ini membuktikan bahawa masyarakat KDM tidak memerlukan parti pembangkang kerana UPKO mampu mewakili mereka.

Pendirian Mengenai Isu Hari Kemerdekaan Malaysia

Selain isu-isu pembangunan, ekonomi dan sosial, UPKO juga prihatin terhadap sejarah sebenar kemerdekaan negara. Sebagai parti yang memainkan peranan signifikan di dalam penubuhan Malaysia, termasuklah mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat IGC dan mengumumkan perisytiharan kemerdekaan Sabah dan penubuhan Malaysia, UPKO sentiasa mengambil pendirian tegas untuk memastikan catatan peristiwa yang sebenar dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia.

UPKO mengakui bahawa kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 merupakan asas kepada pembentukan gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961. Malah, kemerdekaan Sabah juga diumumkan pada 31 Ogos 1963. Bagaimanapun, tarikh ini tidak boleh diterima sebagai hari ulang-tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-50 (pada tahun 2007) kerana negara Malaysia tidak wujud sebelum tahun 1963. UPKO telah mencadangkan supaya “Hari Kemerdekaan Malaysia” ditukar kepada “Hari Kebangsaan Malaysia”.

Pendirian Mengenai Isu Sijil Anak Negeri

Isu sijil anak negeri telah membelenggu sebahagian besar masayarakat Anak Negeri Sabah terutamanya daripada keturunan Peranakan atau Sino. Sijil perakuan Bumiputera ini telah dibekukan oleh Kerajaan BERJAYA pada tahun 1982 ekoran daripada penyalahgunaan kuasa dan pemberian dokumen tersebut kepada golongan yang salah. Ini telah menyebabkan masyarakat Peranakan atau Sino kehilangan hak sebagai Bumiputera termasuklah kelayakan untuk melabur di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan memiliki Tanah Anak Negeri (NT).

UPKO memandang serius isu ini kerana ia melibatkan hak dan kepentingan kumpulan masyarakat yang besar. UPKO menyatakan pendirian bahawa masyarakat Peranakan atau Sino merupakan suku kaum Anak Negeri Sabah seperti dalam takrifan Ordinan Interpretasi (Definisi Anak Negeri) Sabah 1952 sekaligus melayakkan ia menikmati hak-hak sebagai Bumiputera. UPKO juga berpendapat bahawa hak dan kepentingan masyarakat ini telah diberikan jaminan semasa perundingan penubuhan Persekutuan Malaysia kerana ianya merupakan sebahagian daripada suku bangsa Anak Negeri Sabah.

Pendirian Mengenai Status Negara

Sebagai sebuah parti politik yang prihatin dengan catatan sejarah perkembangan negara, UPKO sentiasa prihatin terhadap perkembangan-perkembangan yang melibatkan pandangan banyak pihak bahawa jenis pemerintahan negara merupakan sebuah negara Islam. Pandangan ini telah membimbangkan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia. UPKO menyatakan bahawa buku-buku teks sivik dan tatanegara di sekolah-sekolah kebangsaan sejak sekian lama telah menyatakan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berparlimen di mana Islam merupakan agama rasmi tetapi agama yang lain juga bebas diamalkan. Pendirian UPKO ini telah mendapat perhatian YAB Perdana Menteri yang telah memberikan jaminan bahawa Malaysia bukannya negara teokratik mahupun sekular, sebaliknya ia sebuah negara demokrasi berparlimen.

Pendirian Mengenai Kebebasan Beragama Dalam Konteks Perpaduan Nasional

UPKO juga prihatin dengan perkembangan-perkembangan semasa yang sedikit sebanyak menggugat hubungan etnik dan perpaduan nasional terutamanya yang melibatkan isu kebebasan beragama. UPKO berpendapat bahawa identiti nasional haruslah berdasarkan kepada Rukunegara dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di mana semua warga masyarakatnya tanpa mengira etnik, agama dan kawasan boleh hidup aman damai dan harmoni.

UPKO telah menyuarakan kebimbangan mengenai kesan pelbagai kes-kes keluarga yang melibatkan pertukaran agama yang boleh memberikan kesan terhadap perpaduan serta keharmonian kaum dan agama di Malaysia. Sambil menyatakan kes-kes seperti M.Moorthy, Shamala, Shubasini, Revathi dan seumpamanya, UPKO melihat trend bagaimana ia ditangani sebagai sesuatu yang tidak sihat terutamanya dalam soal penjagaan anak-anak dan pembahagian harta sepencarian suami isteri. Percanggahan pelaksanaan bidang kuasa Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah telah mengakibatkan kecelaruan dalam pentadbiran kehakiman di negara ini.

Oleh itu, UPKO telah mencadangkan supaya kerajaan merangka strategi jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani isu-isu seperti ini. Antara lainnya ialah meyokong cadangan supaya kerajaan mewajibkan pembelajaran dan pengajaran Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang lain di sekolah-sekolah kerajaan serta meminta Parlimen supaya mengkaji semula sistem perundangan yang diperlukan supaya mahkamah tidak dibebankan untuk membuat keputusan terhadap sesuatu perkara yang belum mempunyai peruntukan undang-undang untuk diinterpretasi oleh mahkamah. UPKO juga menyatakan pendirian supaya kerajaan mengambilkira pelbagai pandangan serta cadangan parti-parti komponen BN, masyarakat sivil dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Pendirian Mengenai Istilah “Allah” Di Dalam Alkitab

Penggunaan istilah “Allah” telah mewujudkan satu bentuk hubungan antara kaum yang kurang baik di antara masyarakat Melayu Muslim dengan penganut agama Kristian di negara ini. Pengharaman kerajaan terhadap penggunaan istilah “Allah” di dalam Alkitab berbahasa Melayu yang digunakan oleh sebahagian besar penganut Kristian di Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak telah menyebabkan kumpulan ini menyatakan rasa tidak puas hati. Ini kerana istilah tersebut telah lama digunakan di dalam upacara kerohanian Kristian. Keputusan kerajaan ini bertitik tolak daripada kebimbangan bahawa ianya mempunyai potensi untuk memberikan kefahaman yang salah di kalangan masyarakat Muslim di negara ini.

Bagi UPKO, istilah “Allah” merupakan terjemahan bahasa Melayu yang betul bagi istilah “God” dalam bahasa Inggeris, dan “Kinoringan” di dalam bahasa Kadazandusun. UPKO juga bersetuju bahawa masyarakat Indonesia dan Arab Kristian telah lama menggunakan istilah tersebut tanpa sebarang bantahan daripada masyarakat Muslim di negara-negara tersebut. UPKO juga membantah sebarang sekatan terhadap Alkitab-alkitab yang dibawa masuk ke negara ini hanya semata-mata kerana mengandungi istilah tersebut.

UPKO juga menyatakan pendirian bahawa penggunaan istilah “Allah” di dalam Alkitab dan upacara kerohanian Kristian adalah sejajar dengan dasar kerajaan mejadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Ini kerana penggunaan Bahasa Kebangsaan seharusnya digalakkan di kalangan semua rakyat di negara ini di semua peringkat samada kerajaan, organisasi swasta, sistem pendidikan, di dalam upacara gereja mahupun perbualan-perbualan umum. UPKO berpendapat bahawa pengharaman istilah tersebut bagi kegunaan penganut Kristian bertentangan dengan usaha kerajaan untuk memartabatkan lagi Bahasa Kebangsaan.